Make your own free website on Tripod.com

TAJUK :  Huraikan Masalah Sosial Yang Di Kesan Di Kalangan Pelajar

Petikan Dari : Laman Tuanmat.tripod

1.0  Pengenalan
 Banyak yang telah kita dengar tentang  gejala sosial. Berbagai gejala sosial  telah melanda masyarakat kita  dan  aktiviti yang terlibat  begitu pelbagai  sekali baik yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa. Namun, oleh kerana golongan remaja dan pelajar merupakan bakal pewaris negara, maka  kegiatan merekalah yang hangat diperkatakan dan mendapat  perhatian daripada segenap lapisan masyarakat. Media massa seringkali menyiarkan pelbagai berita dan cerita tentang kenakalan remaja yang masih bersekolah dan pelbagai masalah sosial yang melanda mereka ini. Melihat kepada masalah sosial dan perbuatan  jenayah membabitkan  pelajar dan remaja  benar-benar membimbangkan  kita. 


Pada peringkat pelajar dan remaja, seseorang individu mengalami perubahan yang amat pesat sekali, sama ada dari segi fizikal, emosi mahupun sosial. Pada zaman inilah para remaja mula terdedah kepada alam luas di luar rumah, malah persekitaran ini sudah merupakan rumah kedua kepada mereka. Remaja juga belajar banyak perkara yang tidak semuanya datang dari ibu bapa tetapi kebanyakannya daripada persekitaran sosial yang mana ia membesar. Pada tempoh-tempoh inilah para remaja mula mengubah tingkah laku, sikap, dan nilai, malahan seluruh cara hidup  daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang dan dewasa (Bettelheim, 1950).
 Mereka bukan sekadar  nakal  dengan menghisap rokok, bergaduh sesama sendiri atau berkelakuan tidak senonoh malah gejala seperti membuang bayi, ponteng sekolah , lari dari rumah , seks bebas serta serta lagi melepak tidak memeranjatkan kita.. Mereka kini sudah berani melakukan  perbuatan jenayah berat seperti menganggotai kumpulan samseng seperti kumpulan gengsterisme , membunuh, samun tanpa senjata api  mahupun dengan senjata api, merogol, pelacuran, judi, vandalisme  penyalahgunaan dadah , minum minuman keras, terbabit video lucah  dan sebagainya. Keadaan seperti ini bukan sahaja berlaku disekolah bandar dan di pinggiran  bandar, malah  disekolah luar bandar. Pelajar yang sering melanggar disiplin atau salah laku sekolah digelar  pelajar devian.

2.0 Teori Punca  Salah Laku Dan Masalah Sosial Pelajar 
 Terdapat beberapa penjelasan mengenai punca devian. Teori fungsionalisme menganggap devian  sebagai disfungsi pada struktur sosial. Teori konflik mengatakan devian  merupakan  tindakan  golongan tertindas  terhadap pihak minoriti yang menindas. Teori subbudaya  dan deprivasi status pula  berpendapat  devian berpunca daripada budaya kumpulan yang berbeza dengan budaya masyarakat besar. Deprivasi  selalu berpunca  daripada kekurangan ekonomi dan  kelemahan emosi. Remaja terutamanya daripada latar belakang  kelas sosial rendah yang tidak berjaya dalam akademik mengalami kekecewaan  dan tekanan status  lalu bertindak melakukan devian.


 Teori interaksionisme melihat devian  sebagai sesuatu yang subjektif dan merupakan  suatu proses sosial.  Pelajar sengaja memilih tingkahlaku tertentu mengikut kemahuan mereka yang sesuai  dengan cara mereka menginterpretasi  sesuatu . Kajian Tattum (1986) mendapati bahawa  pelajar sengaja melakukan devian sebagai teknik neutralisasi dalam interaksi mereka. Menurut Merton (1938) terdapat empat jenis devian iaitu  inovasi (suatu cara memenuhi matlamat dengan  cara yang salah), ritual (tindakan mengulang perbuatan), undur (seseorang yang tidak lagi berminat dengan  matlamatnya lalu melakukan alternatif lain sebagai  tindakan ) dan menentang (menolak matlamat persekolahan  dan menggantikannya dengan matlamat lain).

3.0 Masalah-Masalah Sosial Pelajar
3.0.1  Seks Bebas Dan Jenayah Seksual
Seks bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar  kini semakin  menular dan membimbangkan  kita terutamanya pelajar di kawasan bandar dan kota . Apa yang menyedihkan kita  ialah  penglibatan mereka mula  dikesan  seawal usia 13 tahun   ketika mereka mereka berada di tingkatan  satu dan dua. Seorang guru disiplin di sebuah sekolah menengah  mendedahkan bahawa beliau menemui kondom  yang disimpan dalam beg oleh pelajar wanita di sebuah sekolah di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Kondom itu ditemui ketika  pemeriksaan mengejut dilakukan  di sekolah tersebut Peningkatan pembabitan remaja perempuan dalam aktiviti maksiat juga adalah satu lagi petanda bahawa keruntuhan akhlak remaja di Malaysia bertambah serius.


Seorang lagi guru  di sebuah sekolah di Kuala Lumpur mendedahkan bahawa beliau pernah  membuat tinjauan  di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada waktu malam dan merasa sungguh terkejut kerana  mendapati  pelajarnya, lelaki dan perempuan  meneguk minuman keras  tanpa segan silu di khalayak ramai. Beliau juga mendedahkan  terdapat seorang pelajar wanita di sekolahnya  terlibat dalam  pengedaran pil ecstasy. Pelajat terbabit kerap ponteng sekolah  dan apabila disiasat , pihak sekolah mendapati pelajar itu adalah  ketua pengedar pil ecstasy di sekolah itu.


Menurut Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim, jenayah seksual di kalangan  pelajar terutamanya di sekitar Kuala Lumpur semakin  meningkat sejak kebelakangan ini. Di antara jenayah seksual yang mereka lakukan seperti  mencabul kehormatan , merogol dan juga pelacuran . Mangsa  yang dicabul oleh mereka bukan sahaja pelajar wanita tetapi juga  wanita-wanita dewasa. Selain jenayah seksual, beliau mendedahkan  mengenai  masalah seks rambang, hamil luar nikah dan  pelacuran  dikalangan  pelajar di  institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, sehingga bulan Jun tahun ini, seramai 141 gadis bawah umur  berjaya diselamatkan  daripada kancah pelacuran  dan kegiatan seks haram di seluruh negara dan sepanjang tahun lalu pula seramai 230 remaja bawah umur yang terlibat  berjaya diselamatkan   dan dihantar ke pusat pemulihan akhlak. 


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan   berita seks oral dibawah meja di bilik darjah oleh empat orang murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di Taiping. Hasil siasatan  guru-guru,  didapati  bahawa seorang  daripada murid itu mengulangi apa yang yang  dilihatnya  dalam  sebuah filem lucah , bersama-sama ibu bapanya pada malam sebelumnya. Di sebabkan  oleh sebab  sifat ingin tahu,  dia meminta rakan-rakannya untuk mencubanya di bawah meja selepas guru mereka meninggalkan  bilik darjah.


 Namun apa yang sangat menyedihkan ialah sikap ibu bapa itu sendiri  yang sanggup  mendedahkan  anaknya  kearah gejala sosial  dengan  menonton video lucah bersama-samanya. Bagaimanakah ini boleh terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini ? Apakah faktor yang menyebabkan  berlakunya semua ini ?  Adakah anak yang perlu dipersalahkan atau ibu bapa yang tidak berakhlak  yang  perlu dipersalahkan ? Ibu bapa hendaklah menjadi  pemangkin dan contoh teladan yang baik bagi anak-anak kerana pengaruh media massa pada zaman ledakan maklumat  dan  lambakan bahan-bahan lucah seperti majalah dan  VCD lucah amat mudah  mempengaruhi tingkah laku  anak-anak  dan para pelajar. 


Remaja dan pelajar merupakan golongan pewaris kepimpinan hari ini dan penerus wawasan negara. Kepesatan pembangunan ekonomi dan teknologi telah memberikan kesan kepada pembangunan sosial dan insaniah para pelajar. Minda mereka menjadi lebih terbuka dan bebas. Salah satu daripada gejala yang berlaku pada masa kini ialah masalah penyalahgunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan remaja.
Aktiviti seperti "Lepak Siber", melayari halaman lucah dan hiburan keterlaluan, penyebaran fitnah dan sebagainya merupakan gejala negatif yang semakin menular di kalangan remaja. Justeru itu, satu bentuk langkah pembendungan dan penyelesaian terbuka yang sesuai dengan minat dan citarasa mereka ini perlu dilaksanakan agar mereka dapat mempertingkatkan potensi diri mereka dan memanfaatkannya ke arah yang lebih positif.

3.0.2  Samseng  Dan Gengsterisme
Gejala samseng atau gengsterime  di sekolah menengah di seluruh negara  juga semakin membimbangkan .Mereka  ternyata  semakin berani mencabar undang-undang  dan tidak takut  melakukan kesalahan jenayah  termasuk menggunakan senjata merbahaya..  Berita Harian , 12 Julai 2001 lalu melaporkan  dalam tempoh  10 tahun antara 1989 hingga 1998 kadar jenayah  membabitkan   remaja lelaki dan pelajar meningkat  sebanyak 35 peratus  dan 25 peratus bagi remaja perempuan. Kemeterian Pendidikan dengan kerjasama polis  telah mengenal pasti  pelajar di 456 sekolah  menengah di seluruh negara terdedah kepada kegiatan samseng. Angka ini bukan  sedikit dan menunjukkan  gejala ini  ini berada pada tahap membimbangkan . 


Kalau kita menyorot kembali gejala ini, kita akan  diperlihatkan  kepada pembabitan  pelajar  dalam kes jenayah  berat seperti  membunuh, merogol, menyamun, mengugut dan kes pukul. Terdapat juga pelajar yang terlibat dengan  dadah, mabuk,  memiliki senjata api menceroboh , judi dan membuli. Peristiwa  terbaru ialah kejadian membakar  sekolah  dan rumah guru yang dilakukan oleh pelajar  sekolah. Seawal belasan tahun  pelajar sudah  terjebak dengan jenayah ekstrem  seperti  membunuh , merogol dan menyamun. Mereka  yang sudah menjinakkan diri dengan  kes seperti mencuri  motosikal, pecah rumah  dan memukul orang , tidak  mustahil akan  terbabit dengan jenayah  berat seperti  membunuh, sindiket senjata api , pengedaran dadah dan juga rompakan senjata api.  Mengikut laporan Menteri Pendidikan semasa persidangan di Parlimen,    statistik kesalahan membunuh, merompak, merogol dan dadah yang dilakukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah di seluruh     mengikut negeri-negeri dari tahun 1999 hingga tahun 2000 dan pertengahan tahun 2001 ialah 12 kes bunuh, 123 kes rogol dan 51 kes samun dan rompakan. 

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan  berlakunya  gejala-gejala tersebut seperti  faktor  rumah tangga, sekolah, persekitaran, media massa dan diri  pelajar itu sendiri . Ramai pelajar dan remaja  mudah terpengaruh dengan media yang memberikan  ganjaran keseronokan  dan mula  tersesat dengan  meniru apa yang dilihat dan dibaca. Kewujudan media berteknologi tinggi mendedahkan remaja kepada pelbagai budaya luar yang kebanyakannya merosakkan pemikiran  mereka.  Selain itu  rumah tangga yang porak peranda dan persekitaran yang tidak sihat juga menyumbang kearah  kelakuan tidak baik di kalangan remaja .Sekiranya ini berlaku  pelajar atau remaja akan mengambil jalan singkat dengan  menjadikan  perbuatan tidak sihat sebagai  jalan keluar  kepada permasalahan mereka.

3.0.3  Ponteng Sekolah
Senario ponteng sekolah bukanlah merupakan masalah sosial  yang baru di  kalangan pelajar sekolah di negara kita. Perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan  menunjukkan  pelajar terbabit dengan gejala itu agak membimbangkan  iaitu 32092 orang  pada tahun 1993, 154305 (1995)  dan 80937 pada 1997. Pelajar sekolah menengah, terutama di peringkat usia antara 14 hingga 15 tahun dikenal pasti  sebagai kumpulan majoriti  yang terbabit dengan gejala  ponteng. Daripada  keseluruhan  pelajar  yang dikenal pasti terbabit dengan  masalah ponteng, kira-kira 97 peratus adalah dari kalangan  pelajar lelaki dan baki 3 peratus  adalah pelajar perempuan.
 Menurut Setiausaha  Parlimen Kementerian Pendidikan , Datuk Mahadzir Mohd Khir , masalah ponteng lebih ketara  berlaku di kalangan pelajar  peringkat menengah iaitu tingkatan dua dan tiga  terutama  mereka yang bersekolah di kawasan bandar dan sekolah di pinggir bandar. 


 Di antara faktor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya  gejala ponteng di kalangan pelajar  sekolah ialah tiadanya minat atau motivasi untuk ke sekolah, tiada kesedaran betapa pentingnya ilmu pengetahuan , pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan,  pusat membeli belah, melayari internet di kafe siber  dan terikut-ikut atau terpengaruh dengan rakan sebaya. Sesungguhnya gejala ponteng sekolah  adalah masalah serius yang  perlu diberi perhatian.dengan mengambil pendekatan bersepadu  dengan mengesan  punca pelajar terbabit dengan gejala itu dan  kaedah  yang berkesan  untuk menanganinya..
 
3.0.4  Black Metal 
Saban hari bilangan remaja yang terjebak dengan gejala sosial kian meningkat. Yang lebih menyayatkan adalah gejala ini seolah-olah epidemik atau wabak yang  menjangkiti remaja melayu babak demi babak, peringkat demi peringkat dan yang terakhir dan masih terasa bahangnya ialah masalah Black Metal dan kini Pink Metal. Semua ini sebenarnya adalah masalah lama yang diberi manifestasi baru kerana  kelekaan sendiri. Masalah Black Metal misalnya merupakan masalah masyarakat yang telah membelakangkan adab dan budayanya sendiri sehingga wujud satu kekosongan atau vacum yang kaku dan bisu.  Kegiatan Black Metal adalah suatu kegiatan yang mempunyai unsur  pemujaan dan penyembahan syaitan malah ada  pengikut mereka  yang sudah meminum darah kambing sebagai tanda setia kepada kumpulan mereka.. Hasil  daripada siasatan,  polis mendapati 10 pelajar dari sebuah sekolah menengah  di Parit Buntar mula terbabit dengan kumpulan Black Metal  sejak 1999. Ada diantara pelajar berkenaaan terbabit dalam upacara membakar ayat Al Quran dan  mengikuti upacara  yang diketuai `tok guru` yang berselubung hitam.


Akibat dari ketandusan aqidah , pelajar Islam  mula terpengaruh dengan agenda Yahudi  dengan menafikan  tauhid Uluhiyyah.  Adalah  menjadi perkara yang sangat menyedihkan dan mengecewakan apabila terdapat  golongan pelajar  Islam di negara ini yang terpengaruh dengan budaya  yang kurang sihat ini.  Ilmu dan pengajaran daripada  simpulan bahasa dan perumpamaan melayu misalnya, tidak langsung mendapat   tempat sebagai pegangan hidup kita.


Membenteras gejala negatif ini merupakan tanggungjawab sosial semua pihak dari  seluruh anggota masyarakat. Usaha ini memerlukan kerjasama yang padu di kalangan anggota masyarakat. Dengan komitmen, kesungguhan dan keikhlasan semua pihak, gejala ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya, tanpa kita membebankan mana-mana pihak. 

3.0.5  Dadah, Merokok dan Lari Dari Rumah 
Penglibatan pelajar sekolah di negara kita dalam kes merokok, dadah, lari dari rumah  dan judi  bukanlah perkara yang baru. Bagi kesalahan menyalahgunakan dadah yang dilakukan oleh pelajar sekolah bagi tahun 1999 ialah sebanyak 328   kes manakala bagi tahun 2000 ialah sebanyak 448 kes. Diantara  jenis-jenis dadah yang  dikesan  dikalangan pelajar ialah  ganja, heroin, pil ectasy, menghidu gam, meminum ubat batuk dan lain-lain bahan yang mempunyai kesan-kesan dadah. Akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 25.08.2000 melaporkan bahawa 10 orang pelajar  ditahan dalam serbuan polis  yang disyaki ponteng dan menghidu gam. 


Masalah merokok di  kalangan pelajar pula semakin bertambah bilangannya dari sehari ke sehari. Akhbar Berita Harian  bertarikh 30.03 1998 melaporkan terdapat lebih 7000 murid tahun 4 telah merokok diseluruh negeri.  Terdapat beberapa sebab pelajar merokok seperti ingin menonjolkan  emej yang hebat dan kedewasaan, ingin mencuba,  dan mengikut tingkah laku ibu bapa , pengaruh rakan sebaya dan iklan  serta mudah diperolehi di pasaran. Manakala satu lagi kesalahan yang selalu melibatkan para remaja ialah lari atau hilang dari rumah. Statistik untuk tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan remaja yang  lari atau menghilangkan dari rumah semakin membimbangkan Masalah ini mungkin akan menyebabkan wujudnya masalah yang lebih besar apabila mereka menghadapi kesulitan hidup  setelah dari dari rumah seperti   terlibat dalam pelacuran, pelayan di kelab malam atau disco dan sebagainya. 

4.0  Penutup
Melihat kepada permasalahan  dan gejala sosial yang melanda para pelajar  dan remaja  kita pada hari ini amatlah mencemaskan. Tindakan untuk mengawalnya sudah  sampai ke tahap  yang dianggap terdesak. Pertaruhannya adalah masa depan negara dan  generasi Malaysia. Walaupun sudah banyak kajian yang dilakukan  oleh pelbagai pihak mengenai  sikap dan tingkahlaku pelajar  dan remaja tetapi kajiannya lebih bersifat  tujuan akademik dan  tertumpu kepada  punca masalah dan  biasanya bersifat umum sahaja. Di sebabkan  terlalu banyak  punca yang diramalkan , tindakan untuk membendung masalah tidak lagi berfokus.


Meskipun ada cadangan mengenai  cara mana mengatasi masalah, namun ia  hanya berakhir  di meja perbincangan,  forum atau seminar. Memang ada program yang  dirangka untuk remaja dan pelajar tetapi ianya hanya memberi  manfaat kepada segelintir  mereka sahaja dan  lebih bersifat komersial..  Ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat  perlulah berganding bahu dan bekerjasama  dalam memikul tanggungjawab  mendidik anak-anak dan para pelajar. Sebagai masyarakat mikro, sekolah sepatutnya  mempunyai ciri-ciri yang ada dalam masyarakat  makro. Oleh itu adalah wajar  supaya pelajar didedahkan akan kesan buruk  dalam  masyarakat  malalui interaksi  mereka di sekolah. Kerajaan juga perlu melancarkan satu kempen yang menyeluruh  untuk menyedarkan remaja dan pelajar supaya menghindarkan  diri dalam  apa jua bentuk  gejala buruk  yang boleh merosakkan  diri  dan nama baik keluarga mereka. Golongan ini juga perlu  didedahkan dengan  pengetahuan undang-undang  agar mereka  gementar dengan hukuman. 


Pelajar dan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan masa depan negara.. Mereka adalah aset kekayaan semulajadi yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan di negara ini. Namun demikian, masalah akhlak di kalangan remaja adalah salah satu daripada ancaman kepada sumber tenaga manusia yang akan merugikan negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu segala masalah sosial yang dihadapi oleh para remaja harus dibendung dan di atasi supaya ia tidak terus mewujudkan ancaman besar terhadap aset yang tidak ternilai ini.